Surau sekolah merupakan salah satu pusat tumpuan bagi warga sekolah khususnya bagi guru-guru yang beragama Islam dan murid-murid Islam. Walau bagaimanapun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) penggunaan Surau atau Musalla Sekolah hendaklah mengikut Garis Panduan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
KPM telah mengeluarkan Garis Panduan Pengoperasian Surau Sekolah sebagai panduan warga sekolah untuk menggunakannya.
Garis Panduan Pengoperasian Surau Sekolah ini disediakan sebagai rujukan kepada pentadbir serta guru di sekolah rendah, sekolah menengah, Kolej Vokasional dan Kolej Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM.
Garis panduan ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan:
- Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (rujukan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 5 Tahun 2020 bertarikh 4 Jun 2020);
- surat siaran dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri bawah naungan raja-raja dan enakmen negeri; dan
- surat pekeliling ikhtisas, surat siaran dan arahan serta peraturan berkaitan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia dari semasa ke semasa.
[pdf-embedder url=”https://www.pendidik2u.my/wp-content/uploads/2020/07/Garis-Panduan-Surau-Sekolah.pdf” title=”Garis Panduan Surau Sekolah”]
Di dalam Garis Panduan SOP Surau Sekolah ini menekankan segala perkara yang berkaitan dengan surau sekolah terutamanya untuk solat:
- Solat Secara Bersendirian
- Solat Berjemaah bagi Murid di Sekolah
- Solat Berjemaah bagi Murid di Asrama
- Surau Sekolah untuk Solat Jumaat
- Sebelum ke Surau
- Semasa di Surau
- Selepas Solat
Ia juga ada menyatakan Peranan dan Tanggungjawab Pentadbir dan Penyelaras Surau.
Peranan dan tanggungjawab umum pihak yang terlibat adalah seperti berikut:
Pentadbir Sekolah
Surau sekolah dalam keadaan bersih dan selamat untuk digunakan oleh murid dan warga sekolah; dan garis panduan ini dipatuhi sepenuhnya oleh murid dan warga sekolah.
Penyelaras Surau
Penyelaras surau perlu menyediakan:
- Jadual bertugas;
- Sabun/pensanitasi tangan;
- Pelan laluan arah keluar dan masuk murid ke surau; dan
- Tanda penjarakan satu (1) meter di pintu masuk dan keluar surau, semua ruangan solat, tempat wuduk dan tandas.
Pelaksanaan
Solat Secara Bersendirian
- Murid boleh mendirikan solat secara bersendirian di surau atau bilik-bilik khas yang telah ditentukan oleh pihak sekolah.
- Murid tidak dibenarkan bersentuhan dan bersalaman dengan murid lain semasa berada di surau dan sentiasa mematuhi penjarakan sosial.
Solat Berjemaah bagi Murid di Sekolah
- Murid boleh menggunakan surau sekolah untuk menunaikan solat secara berjemaah berdasarkan kapasiti yang telah ditetapkan dengan mengambil kira penjarakan sosial.
- Murid perlu segera menunaikan solat berjemaah di surau bagi memberikan laluan kepada jemaah yang berikutnya.
- Murid juga boleh mendirikan solat berjemaah di bilik khas yang telah ditentukan oleh pihak sekolah.
Solat Berjemaah bagi Murid di Asrama
- Sekiranya kapasiti murid melebihi daripada jumlah jemaah yang dibenarkan pada satu-satu masa, kaedah penggiliran boleh dilaksanakan.
- Murid juga boleh mendirikan solat sama ada di bilik (dorm) atau di bilik-bilik khas di kawasan asrama mengikut ketetapan serta peraturan pihak sekolah.
Surau Sekolah untuk Solat Jumaat
Tertakluk pada Jabatan Agama Islam Negeri bawah naungan raja-raja dan surat siaran serta garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam di negeri masing-masing.
Tertakluk pada pemakluman rasmi kerajaan dari semasa ke semasa, jemaah hanya dibenarkan kepada untuk murid, guru, warga sekolah dan individu seperti berikut:
- imam, bilal dan ahli jawatankuasa surau yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Negeri atau komuniti untuk mengendali urusan solat Jumaat di surau sekolah;
- pekerja kontrak kebersihan;
- pekerja kantin sekolah;
- pekerja perkhidmatan makanan bermasak di asrama; dan
- pengawal keselamatan.
Sebelum ke Surau
- Setiap murid mesti membawa kelengkapan solat sendiri seperti sejadah, telekung, songkok, kopiah dan selipar untuk kegunaan semasa di surau atau bilik-bilik khas yang telah ditetapkan sebagai tempat solat.
- Murid tidak dibenarkan berkongsi kelengkapan tersebut.
- Murid hendaklah berwuduk di tempat yang telah ditetapkan.
Semasa di Surau
- Murid tidak dibenarkan bersentuhan dan bersalaman dengan murid lain semasa berada di surau serta sentiasa mematuhi penjarakan sosial.
- PdP seperti tasmik untuk Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) boleh dilaksanakan dengan mematuhi penjarakan sosial.
Selepas Solat
- Murid tidak dibenarkan bersentuhan dan bersalaman selepas menunaikan solat.
- Murid perlu segera beredar sebaik selesai menunaikan solat.
SOALAN LAZIM (FAQ)
BERKAITAN DENGAN PENGOPERASIAN SURAU SEKOLAH
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
1. Adakah penggunaan surau sekolah dibenarkan?
Ya, untuk solat dan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT).
2. Adakah orang luar dibenarkan solat di surau sekolah?
Tidak. Surau sekolah hanya dibenarkan untuk murid, guru, warga sekolah dan individu seperti berikut:
a. imam, bilal dan ahli jawatankuasa surau yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Negeri atau komuniti untuk mengendali urusan solat Jumaat di surau sekolah;
b. pekerja kontrak kebersihan;
c. pekerja kantin sekolah;
d. pekerja perkhidmatan makanan bermasak di asrama; dan
e. pengawal keselamatan.
3. Adakah aktiviti kuliah atau pengajian kitab dibenarkan di surau sekolah?
Tidak, kecuali aktiviti PdP.
Semoga dengan adanya Garis Panduan Penggunaan Surau Sekolah ini dapat membantu rakan-rakan guru khususnya dalam membuat persediaan awal sebelum pembukaan penuh sesi persekolahan.