Kementerian Pendidikan Malaysia dalam satu Kenyataan Media hari ini telah menjelaskan bahawa KPM berusaha ke arah membantu guru opsyen Bahasa Inggeris meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris.
Berikut isi kandungan kenyataan media tersebut:
Kementerian Pendidikan Malaysia berusaha ke arah membantu guru opsyen Bahasa Inggeris meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris.
Berhubung laporan media yang memetik Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertingkatkan semula arahan supaya guru yang mengajar Bahasa Inggeris menduduki peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), Kementerian ingin menjelaskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menyatakan bahawa semua guru yang mengajar Bahasa Inggeris perlu berada pada tahap penguasaan Proficient User iaitu tahap minimum C1 berlandaskan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).
English Language Education Reform in Malaysia: The Roadmap (2015-2025) dibangunkan untuk merealisasikan hasrat PPPM (2013-2025) melalui pelan reformasi pendidikan Bahasa Inggeris di Malaysia yang sistemik dan sistematik.
Bagi memenuhi aspirasi PPPM (2013-2025) dan The Roadmap (2015-2025) semua guru opsyen Bahasa Inggeris di bawah KPM perlu menduduki ujian untuk mengetahui Tahap Penguasaan Bahasa Inggeris mereka. KPM telah menyediakan latihan dan bahan pembelajaran kendiri dalam talian untuk membantu guru opsyen Bahasa Inggeris meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris mereka.
KPM sedang berusaha ke arah mewujudkan guru berautonomi melalui Pembangunan Profesionalisme Berterusan untuk mengukuhkan imej profesionalisme keguruan supaya berada pada tahap piawaian antarabangsa.
Dalam konteks ini semua guru opsyen Bahasa Inggeris perlu mempunyai pemunyaan terhadap usaha mempertingkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dan kemahiran pedagogi. Ini penting bagi memastikan murid dididik oleh guru Bahasa Inggeris yang tinggi untuk meningkatkan standard pendidikan Bahasa Inggeris negara.
KPM juga telah mengadakan sesi libat urus dengan NUTP berhubung Pelaksanaan Kursus Profesional Up-Skilling of English Language Teacher (Pro-Elt) dan Tahap Penguasaan Bahasa Inggeris Guru Opsyen Bahasa Inggeris Berlandaskan CEFR.
KPM ingin memberi jaminan bahawa Kementerian sentiasa memberi perhatian untuk menangani masalah kekurangan guru Bahasa Inggeris dan pada masa yang sama tidak akan membebankan para guru.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
8 MEI 2019
Kami yang pernah menduduki CEFR dijanjikan rm 3000 dan rm5000.mengikut tahap pencapaian. Peruntukkan telah diluluskan di Parlimen. Janji tinggal janji sahaja. Boleh tak semak peruntukkan itu masuk poket siapa.