Tindakan seorang guru besar yang dipercayai cuba membuat tuntutan palsu bernilai kira-kira RM125,000 berakhir dengan penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak.

Menurut sumber, suspek, seorang lelaki berusia sekitar 50-an, telah ditahan pada jam 9.30 malam Isnin di sebuah sekolah di daerah Bintulu.

Susulan penahanan tersebut, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bintulu pada hari Selasa dan dikenakan perintah reman selama enam hari.

“Guru besar itu dikenakan reman bermula semalam (Selasa) sehingga 30 Jun ini oleh Majistret Galvin Loo Wei Ling,” kata sumber tersebut.

Siasatan awal mendapati suspek bersubahat dengan sebuah syarikat dalam membuat tuntutan palsu berkaitan pembekalan makanan ke asrama sebuah sekolah di daerah ini yang bernilai kira-kira RM125,000. “Namun, kuantiti bekalan makanan tersebut tidak sama dengan jumlah sebenar yang dibekalkan,” tambahnya pada hari Rabu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh, mengesahkan penahanan guru besar tersebut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.