PUTRAJAYA, 24 Mac – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan seorang guru yang menyuruh pelajarnya “pulang ke China” hanya kerana tidak fasih berbahasa Melayu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa KPM tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk isu perkauman di sekolah, sama ada melibatkan pelajar, guru, mahupun pegawai.
“Saya tegaskan bahawa KPM tidak kompromi dalam soal perkauman yang berlaku di sekolah, baik melibatkan guru mahupun pelajar atau mana-mana pegawai. Dalam kes ini, siasatan sudah pun berlangsung dan tindakan akan kita lakukan berdasarkan kepada (hasil) siasatan itu,” katanya.
Fadhlina berkata demikian kepada media selepas menyampaikan bantuan Hari Raya kepada 320 murid sekolah rendah sekitar Putrajaya dalam satu majlis di sebuah pusat beli-belah hari ini.
Klip Audio Guru Suruh Pelajar “Balik China” Tular
Sebelum ini, tular satu klip audio di media sosial yang mendakwa seorang guru mengeluarkan kenyataan menyuruh pelajar sekolah menengah pulang ke China kerana tidak memahami bahasa Melayu.
Dalam audio tersebut, seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai saudara kepada pelajar itu bertanyakan kepada guru terbabit sama ada kenyataan tersebut benar. Guru berkenaan dilaporkan mengakui telah membuat kenyataan itu.
Siasatan kini dijalankan secara menyeluruh oleh pihak polis dan Kementerian Pendidikan bagi memastikan keadilan ditegakkan serta tindakan sewajarnya diambil.