Pihak Kementerian mengambil pelbagai inisiatif ke arah melahirkan generasi yang cemerlang dan terdidik dengan adab terpuji. Penerapan nilai dan adab perlu menjadi tunjang kepada kemenjadian pembentukan diri seseorang murid secara holistik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Kini, proses pengajaran dan pemudahcaraan pada mana-mana peringkat bukan sahaja hanya berfokus kepada 3M (menulis, membaca dan mengira) tetapi perlu ditambah dengan M yang keempat iaitu manusiawi. Sekolah bukan lagi tempat persaingan tetapi tempat pembelajaran nilai-nilai kemanusiaan.
Atas dasar tanggung jawab, pihak Kementerian telah menyediakan Manual Kesedaran Sivik dan Amalan Nilai Murni bagi kegunaan murid sekolah rendah dan menengah. Ia merupakan suatu panduan melaksanakan aktiviti bimbingan ke arah merekayasa amalan nilai murni dalam kalangan murid sekolah. Saya berharap manual ini digunakan secara maksimum bagi memupuk kesedaran, ke arah membina kefahaman sehingga ke peringkat nilai tersebut menjadi amalan dan dibudayakan di dalam kehidupan harian.
Manual ini disediakan hasil daripada perkongsian dapatan, soal selidik dan temubual dengan pelbagai pemegang taruh institusi pendidikan kita. Nilai-nilai murni universal merentas agama, fahaman, budaya wajar dijadikan amalan berterusan bagi melahirkan rakyat Malaysia yang memahami kepelbagaian adat dan budaya antara satu dengan lain.
Apatah lagi dengan kemajmukan rakyat Malaysia, nilai bertanggungjawab, hormat-menghormati, kasih sayang dan kegembiraan sangat wajar diberi penekanan bagi meningkatkan integrasi kaum yang pelbagai. Namun, apa yang paling penting, pembudayaan nilai murni dalam kalangan murid sekolah sebenarnya adalah untuk melahirkan warganegara yang tinggi nilai intelek, dalam masa yang sama terdidik dirinya dengan adab terpuji.
Usaha memupuk kesedaran sivik dan amalan nilai murni adalah menjadi keutamaan Kementerian Pendidikaan Malaysia. Justeru, kefahaman yang jelas dalam kalangan warga kementerian pendidikan dan para pendidik adalah sangat perlu agar pembudayaan nilai murni ini tercapai seperti yang dihasratkan.
Nilai-nilai murni seperti kasih sayang, kegembiraan, hormat-menghormati dan bertanggungjawab akan melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang sejahtera.
Kepada yang ingin mendapatkan Manual Sivik Sekolah menengah boleh muat turun di pautan di bawah: