Operasi Pejabat Kerajaan Semasa PKP Bersyarat

SURAT EDARAN OPERASI PEJABAT KERAJAAN SEMASA PKP BERSYARAT

YAB Perdana Menteri dalam perutusannya pada 1 Mei 2020
menyatakan bahawa mulai 4 Mei 2020 semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sehubungan dengan itu, semua Pejabat Kerajaan akan mula beroperasi sepenuhnya mulai tarikh berkenaan.

Bersama ini disertakan surat edaran JPA.SARAAN (S) 256/6/31 JLD.6 (6) bertarikh 2 Mei 2020 – Operasi Pejabat Kerajaan Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat untuk makluman bersama. Surat edaran boleh dimuat turun melalui pautan https://www.jpa.gov.my/pengumuman/1216-surat-edaran-jpa-saraan-s-256-6-31-jld-6-6

Sekian, terima kasih.

Jabatan Perkhidmatan Awam
3 Mei 2020

Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam sentiasa
berada ditahap yang baik dan efektif serta mengambil berat
tentang keselamatan dan kebajikan penjawat awam sepertimana
saranan YAB Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara,
Ketua Jabatan boleh mempertimbang dan memberi kelonggaran
kepada sebahagian pegawai untuk bekerja menggunakan waktu
kerja fleksi dan sebahagian untuk bekerja di rumah sama ada secara penggiliran atau sepenuh masa agar penggunaan sumber
manusia adalah optimum.

Pertimbangan dan kelonggaran kepada mana-mana pegawai untuk bekerja dari rumah sama ada secara penggiliran atau di sepanjang tempoh yang ditetapkan hendaklah berasaskan bahawa urusan atau tugasan pegawai berkenaan tidak memerlukan keberadaan pegawai di pejabat pada setiap masa atau sepanjang tempoh yang ditetapkan.

Bagi pegawai awam yang mempunyai tanggungan anak yang
berusia 12 tahun ke bawah atau anak-anak berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) yang bersekolah dan memerlukan penjagaan berterusan, Ketua Jabatan juga boleh mempertimbangkan pegawai berkenaan untuk bekerja dari rumah.

Walau bagaimanapun bagi pasangan suami isteri yang merupakan penjawat awam, hanya seorang (1) sahaja yang boleh menggunakan kemudahan bekerja dari rumah pada satu-satu masa sehingga sekolah atau pusat jagaan dibuka semula.

Sehubungan dengan itu, Ketua Jabatan juga hendaklah memastikan pematuhan kepada semua peraturan, garis panduan dan surat edaran yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19.

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-
masing, arahan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua
Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak
Berkuasa Tempatan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top