Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan Surat Siaran Peringatan Pelaksanaan Tugas Guru Dalam Cuti Penggal Sekolah susulan teguran dan peringatan dari Menteri Pendidikan berkenaan guru diarah bertugas menjaga pejabat ketika cuti sekolah sebelum ini.

“Cuti sekolah akhir tahun: Guru hadir tugasan rasmi sahaja seperti kursus, mengawas peperiksaan awam seperti SPM dan STPM, BUKANNYA bertugas menjaga pejabat sekolah secara bergilir-gilir. KPPM Datuk Dr. Amin Senin akan membuat susulan dengan semua PGB dengan SPI yang berkaitan kelak melalui BPSH secara terperinci dan rasmi.”

 

Berikut adalah Intipati dalam Surat Siaran KPM Bil 11 Tahun 2017

Kementerian Pendidikan Malaysia ingin menarik perhatian terhadap pelaksanaan peraturan seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 5 Tahun 1977: Tugas-tugas guru dalam cuti Penggal Persekolahan bertarikh 6 Julai 1977. Ia memperuntukkan bahawa Pengetua/Guru Besar boleh mengarahkan guru unutk hadir bertugas semasa cuti penggal sekolah bagi masa yang tidak melebihi separuh dari cuti penggal sekolah dalam tahun persekolahan tersebut seperti mengawas peperiksaan, berkursus, dan mesyuarat persediaan awal tahun.

Dalam hal tersebut KPM masih lagi menerima rungutan dari guru-guru yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan peraturan tersebut sehingga mendatangkan beberapa kesulitan kepada guru-guru berkenaan.

Sehubungan dengan itu KPM ingin menegaskan bahawa selain tugasan yang telah ditetapkan diperingkat pusat seperti mengawas peperiksaan dan berkursus, semua Pengetua/ Guru Besar hendaklah merancang segala tugas guru di waktu cuti penggal sekolah dengan lebih awal supaya tugasan yang dirancang tersebut tidak menimbulkan masalah kepada guru-guru di bawah pentadbiran masing-masing.

Pengetua juga diminta menggunakan kebijaksanaan mereka dalam merancang tugasan tersebut supaya tidak menyulitkan pergerakan guru-guru berkenaan disamping mengira kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan mereka semasa cuti penggal sekolah.

 

Guru-guru menyambut baik surat siaran ini, biarpun mungkin agak lewat dikeluarkan, namun berguna untuk masa-masa hadapan. Perlu difahami juga, guru-guru bukanlah ingin melanggar pekeliling atau arahan dari PGB sebagai ketua jabatan, cuma mereka juga memerlukan waktu cuti unutk bersama keluarga.

Untuk simpanan Surat Siaran ini Versi PDF: Pekeliling guru bertugas masa cuti

Biarpun guru-guru tidak berada di sekolah, mereka sebenarnya banyak meluangkan masa menyiapkan dokumen unutk kegunaan tahun hadapan seperti RPT 2018, DSKP, Fail Peribadi dan sebagainya. Bahkan kita percaya guru-guru akan memberi komitmen 100% apabila mula bermesyuarat sempena pembukaan sekolah nanti.

Semoga info dan maklumat ini memberi pencerahan kepada warga pendidik dan juga para pentadbir. Kehidupan bukanlah semata-mata untuk bekerja, kehidupan itu meliputi banyak perkara. Renung-renungkan selamat beramal.